"Kombinasi berbeza bukan masalah."

Demikian keyakinan pertahanan negara, Syahmi Safari, yang bersedia dengan apa jua kombinasi di benteng akhir untuk misi menakluk Stadium My Dinh, Hanoi, dalam aksi final kedua Piala Suzuki AFF, Sabtu ini.


Skuad negara terpaksa menampilkan kombinasi baru di bahagian pertahanan dalam aksi final pertama menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

Ia susulan pemain tonggak, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Syazwan Andik Ishak mengalami kecederaan manakala Syahmi pula digantung satu perlawanan.

Ketiga-tiga pemain itu tampak kembali ditagih untuk membentuk semula kombinasi asal, namun pertahanan lain seperti Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin juga berpeluang untuk beraksi.

"Kami telah bersama sejak dulu lagi dan tidak mempunyai masalah dalam aspek persefahaman.

"Setiap pemain yang diturunkan pasti akan memberikan yang terbaik buat skuad kebangsaan," katanya.

Tempat Syahmi sebelum ini digantikan dengan Amirul Azhan Aznan.

Ketiadaan Syahmi amat dirasai kerana pertahanan muda Selangor itu berupaya membantu serangan dan mendapatkan gol.

"Vietnam sememangnya mempuyai serangan balas pantas dan sangat berdisiplin dalam bertahan.

"Kami perlu lebih berhati-hati dan mengekalkan ketenangan sewaktu keadaan tertekan," tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan bukan mustahil untuk skuad negara mengalahkan Vietnam di Hanoi.

"Segala kemungkinan boleh terjadi dalam bola sepak.

"Situasi kini 50-50 buat kedua-dua pasukan.

"Vietnam juga pasti tertekan bermain di laman sendiri.

"Pemain negara telah bersedia untuk beraksi tanpa tekanan dan mampu memberikan aksi terbaik.

"Jika ada rezeki, Malaysia pasti akan menjadi juara," katanya.