Khairul Fahmi Che Mat semakin mengukuhkan tempatnya selaku penjaga gol nombor satu negara selepas memperagakan prestasi cemerlang ke atas Maldives dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Pengalaman jelas menjadi aset Khairul Fahmi apabila dia menyelamatkan kira-kira empat percubaan berbahaya lawan dalam aksi pemanas badan bagi menghadapi Piala AFF yang membuka tirai Khamis depan.

"Ia hasil kerjasama berpasukan.

"Saya tidak boleh menganggap tempat saya dalam Piala AFF sudah terjamin.

"Saya perlu berusaha dan meyakinkan barisan jurulatih serta rakan sepasukan.

"Apapun, semua pemain ingin menampilkan aksi terbaik untuk diri sendiri dan negara," katanya selepas membantu skuad kebangsaan merakamkan kemenangan 3-0.

Dalam masa sama, Khairul Fahmi tidak mahu mendabik dada dengan mengatakan prestasinya sudah mencapai tahap kemuncak seperti mana ketika membantu pasukan negara muncul juara Piala AFF 2010.

"Saya masih mencari (rentak) untuk mempamerkan aksi yang lebih baik lagi dalam Piala AFF nanti.

"Lagipun, masih ada beberapa kesilapan yang saya lakukan dan bernasib baik Maldives tidak menggunakan peluang tersebut.

"Saya perlu berusaha lebih gigih semasa sesi latihan dalam usaha mengurangkan kesilapan dalam aksi sebenar nanti," katanya lagi.