Pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid, meletakkan semangat dan kerjasama berpasukan sebagai matlamat utama berbanding jaringan peribadi dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2018 menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Safawi muncul pemain negara paling banyak melakukan percubaan sepanjang aksi di peringkat kumpulan.

Berdasarkan statistik kejohanan, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu telah melakukan 19 percubaan dengan enam daripadanya adalah percubaan tepat.

Membabitkan empat perlawanan peringkat kumpulan, Safawi bagaimanapun masih buntu untuk meledak jaringan.

Justeru, pertemuan menentang Thailand tampak menjadi peluang terbaiknya untuk menamatkan kemarau gol dalam kejohanan ini.

"Kalau bukan rezeki saya (menyumbat gol) pada malam esok, mungkin ia akan berlaku semasa aksi separuh akhir kedua dan tidak keterlaluan dalam final.

"Saya tidak perlu gopoh, insya-Allah gol akan menyusul, kami perlu seimbang di antara aspek disiplin dan serangan," ujarnya yang ditemui selepas sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di gelanggang keramat negara itu hari ini.

Dijangka menggalas tugas di posisi sayap kanan skuad negara, Safawi mengakui aksi menentang Thailand merupakan perlawanan terbesar dalam kariernya.

"Ini merupakan perlawanan terbesar saya di peringkat senior.

"Ini separuh akhir pertama saya dalam Piala AFF, ia peluang untuk saya mencipta nama di peringkat Asia," katanya lagi.