Piala AFF: Kedudukan Khairul Fahmi belum terjamin

Oleh Staff Writer 22 November 2018 2546
Piala AFF: Kedudukan Khairul Fahmi belum terjamin
Kedudukan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, masih belum selamat dengan peluang masih terbuka buat Farizal Marlias dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk diturunkan dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala Suzuki AFF menentang Myanmar, Sabtu ini.

Khairul Fahmi menjadi taruhan utama pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, dalam ketiga-tiga perlawanan terdahulu.

Namun, dia bolos sebanyak dua kali ketika berdepan Vietnam di Hanoi, minggu lalu.

Farizal dan Hafizul Hakim yang menunjukkan semangat tinggi sewaktu sesi latihan, dilihat mampu menjadi pilihan lain buat jurulatih itu.

"Kami mempunyai tiga penjaga gol dengan kualiti yang baik.

"Khairul Fahmi telah memaparkan aksi yang baik dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Dia tidak seharusnya dipersalahkan ketika Malaysia tewas kepada Vietnam minggu lalu.

"Saya akan mengkaji penjaga gol mana yang patut diturunkan ketika menentang Myanmar nanti," katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menagih khidmat pemain sayap, Mohammadou Sumareh yang telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan paha yang dialaminya sebelum ini.

"Sumareh telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Saya berharap kami dapat melihat prestasi sebenarnya ketika perlawanan penting berdepan Myanmar itu," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen