Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengakui jentera tengah pasukannya perlu lebih berkarisma untuk menjadi nadi kekuatan skuad Harimau Malaya dalam tugasan mencabar kempen Piala Suzuki AFF menentang Thailand dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Cheng Hoe menerapkan formasi 4-2-1-3 dalam empat perlawanan terdahulu dan percaturan itu mula menyerlahkan keseimbangan ketika skuad negara menewaskan Myanmar 3-0, Sabtu lalu.

Setiap posisi sudah menyerlahkan potensi masing-masing, namun Cheng Hoe mengharapkan jentera tengah pasukannya mampu tampil lebih kreatif dalam membantu serangan dan mendapatkan jaringan.

"Thailand memiliki kelebihan daripada aspek kualiti pemain tengah, namun saya rasakan pemain tengah kami mampu bersaing dengan mereka," katanya.

Tugasan di bahagian tengah bakal digalas oleh Akram Mahinan dan Syamer Kutty Abba di samping pemain sayap, Safawi Rasid dan Mohammadou Sumareh.

"Saya dapat melihat peningkatan yang dipamerkan mereka dalam empat perlawanan terdahulu.

"Barisan pemain sudah menyedari kelemahan mereka dan sedia untuk memperbaiki aspek tersebut," tambahnya.

Sementara itu, pemain tengah negara, Akram, mengakui perlu menggandakan usahanya dalam memastikan jentera tengah berfungsi dengan baik ketika melancarkan serangan dan bertahan dalam pertemuan itu nanti.

"Ia bukan tugas mudah, namun saya dan Syamer akan turun dengan prestasi terbaik.

"Kamu perlu mempercayai kemampuan pasukan dan seterusnya mengawal jentera tengah Thailand," katanya.