Pengendali Thailand, Milovan Rajevac, menyifatkan pertemuan menentang Malaysia sebagai aksi separuh masa pertama bagi kedua-dua pasukan, namun tetap menuntut anak buahnya untuk mencari gol di tempat lawan.

Thailand hadir dengan reputasi hebat selaku pasukan pilihan selepas menerajui Kumpulan B menerusi tiga kemenangan dan satu seri.

Menariknya, juara lima kali kejohanan itu merekodkan 15 gol dan dibolosi tiga gol, sekali gus menyerlahkan kekuatan mereka dalam kempen kali ini.

Begitupun, bekas jurulatih skuad Piala Dunia 2010 Ghana itu mahu pemainnya berwaspada bertemu Malaysia yang bakal mendapat sokongan padu di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

"Ya, perlawanan esok merupakan separuh masa pertama buat kedua-dua pasukan kerana separuh masa kedua akan berlangsung di Bangkok tetapi kerana ini merupakan aksi timbal balik, maka amat penting untuk kami mendapatkan gol tempat lawan," ujarnya.

Kelibat Adisak Kraisorn, Supachai Jaided dan Tanaboon Kesarat antara taruhan utama skuad Gajah Perang itu berdepan Malaysia.

Ketiga-tiga pemain itu mempamerkan aksi terbaik masing-masing di peringkat kumpulan, terutama Adisak yang sudah meledak lapan gol.

"Kami tidak mengharapkan kepada seorang pemain sahaja kerana kami bermain sebagai sebuah pasukan, jadi perlawanan esok, sekali lagi kami akan menampilkan corak permainan yang sama untuk memastikan kejayaan menjadi milik kami." kata pertahanan Thailand, Korakod Wiriyaudomsiri.