Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengingatkan barisan pemain Harimau Malaya supaya tidak memberi terlalu banyak tumpuan terhadap media sosial menjelang aksi final pertama Piala Suzuki AFF 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Hamidin berkata pemain negara seharusnya memberikan lebih fokus terhadap pertemuan tersebut memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu pernah ditewaskan Vietnam 0-2 dalam saingan peringkat Kumpulan A, 16 November lalu.

Beliau berkata nasihat itu juga sebagai peringatan kepada barisan pemain bahawa ia bukan masa untuk meraikan sesuatu pencapaian meskipun masih segar dengan kejayaan menyingkirkan juara bertahan, Thailand, Rabu lalu.

"Saya mengingatkan Cheng Hoe dan pemain supaya memberikan lebih tumpuan dalam perlawanan akhir itu kerana masih tedapat dua aksi dan kejohanan belum sampai ke penghujungnya.

"Ini bukan masa untuk meraikan apa-apa. Kita masih ada urusan yang belum tamat.

"Dalam tempoh seminggu akan datang, kami perlu fokus dan kerja lebih kuat kerana skuad negara tidak menang ketika menentang Thailand.

"Mereka layak ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

"Soal media sosial pula, saya tidak mahu pemain-pemain terlampau melayan kerana jika mendapat pujian melampau, ia akan memberikan masalah.

"Begitu juga sebaliknya sekiranya terdapat kritikan melampau," katanya ketika ditemui selepas meninjau sesi latihan skuad kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Mengenai tumpuan luar biasa diterima skuad kebangsaan, terutama selepas kejayaan mara ke final, Hamidin berkata ia situasi normal yang berlaku dalam dunia sukan.

"Saya berasakan dalam keadaan sekarang, semua pemain begitu matang untuk menghadapi situasi itu.

"Ia situasi normal memandangkan semua pihak mahu memberikan sokongan kepada Harimau Malaya," tambahnya.

Perlawanan akhir pertama di antara Malaysia dan Vietnam akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, manakala aksi kedua dijadualkan berlangsung di Hanoi, Sabtu depan.

-- BERNAMA