Pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh, menyifatkan kekuatan barisan negara dalam saingan Piala AFF kali ini adalah hubungan kekeluargaan yang mereka miliki.

Bagi pemain Pahang itu, setiap pemain dalam skuad negara mengetepikan semangat kenegerian dan kelab apabila berada dalam skuad kebangsaan.

Sumareh menyifatkan tiada bintang dalam kalangan mereka kerana lebih menumpukan kepada kerjasama sepasukan.

"Perkara terbaik dalam pasukan adalah kami bermain sebagai sebuah keluarga.

"Kami ketepikan sikap kenegerian dalam saingan tempatan dan kami semua berkawan baik.

"Itu adalah nilai tertinggi dalam skuad negara ketika ini," katanya.

Sumareh bakal menjadi pemain naturalisasi yang bukan berdarah campuran pertama skuad negara dalam Piala AFF.

Selepas tiga aksi persahabatan bersama Harimau Malaya, dia kini membentuk keserasian yang baik bersama rakan sepasukan.

"Saya sangat teruja memandangkan ia adalah kejohanan tertinggi di rantau ini.

"Kami telah melalui pelbagai sesi latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Kami banyak berbincang tentang corak permainan masing-masing dan itu membantu kami dalam memahami antara satu sama lain.

"Segalanya nampak baik buat masa ini," katanya lagi.