Piala AFF: Harimau Malaysia tekad calar reputasi skuad Naga Emas 

Oleh Penulis Jemputan 15 November 2018 2207
 Piala AFF: Harimau Malaysia tekad calar reputasi skuad Naga Emas 
Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, tidak gusar dengan reputasi rakan sejawatannya, Park Hang Seo, yang pernah membuat penampilan di pentas Piala Dunia 2002 bersama jurulatih ternama, Guus Hiddink, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Hanoi, Vietnam, malam esok. 

Skuad negara bakal menempuh laluan penuh berliku menentang pasukan tuan rumah ituyang diberi jolokan Naga Emas selepas mengharungi dua perlawanan Kumpulan A, Piala AFF dengan nota kemenangan.

Ia susulan prestasi lawan yang tampil jauh lebih baik kali ini di bawah sentuhan Hang Seo dari Korea Selatan, individu yang dianggap mengubah landskap bola sepak Vietnam ketika ini.

Ia menerusi kejayaan skuad B-23 negara berkenaan muncul naib juara Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu, selain layak ke separuh akhir Sukan Asia Jakarta-Palembang serta layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

Hang Seo tampak memiliki sentuhan luar biasa dengan pengalamannya sebagai pembantu kepada Hiddink yang membawa Korea Selatan ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

"Sejak Park Hang Seo mengambil alih skuad B-23 dan kebangsaan Vietnam, perubahan corak permainan mereka nampak ketara.

"Tetapi, kami tidak perlu terlalu menghormati reputasi jurulatih tersebut dan kami perlu mempunyai keyakinan dalam aksi malam esok," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, Hang Seo mengakui tidak rela mimpi buruk skuad Vietnam empat tahun lalu menimpa dirinya.

Dalam edisi Piala AFF 2014, Vietnam dimalukan Malaysia di hadapan penyokong sendiri susulan tumpas 2-4 dalam aksi timbal balik separuh akhir untuk tersingkir dengan agregat 5-4. 

"Kami tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi untuk memenangi perlawanan esok kerana Malaysia bukan calang-calang pasukan. 

"Rekod menunjukkan mereka pernah mengalahkan Vietnam di sini, jadi kami perlu berwaspada," katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen