Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, melaungkan amaran agar anak buahnya turun sehabis baik memburu kemenangan tatkala pengendali Myanmar, Antoine Hey, menegaskan pasukannya tidak akan menampilkan corak bertahan.

Kedua-dua pasukan akan melakukan perhitungan dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Skuad negara tiada pilihan selain memastikan kemenangan ke atas Myanmar untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Namun, untuk melunaskan misi itu, barisan pemain negara perlu mengerah segala kudrat dengan menjadikan pertemuan itu ibarat aksi final.

Hakikat itu tidak dinafikan Cheng Hoe yang menuntut skuad kendaliannya itu tampil lebih fokus dan tidak terlalu ghairah memburu jaringan.

"Kami mendominasi perlawanan ketika tewas 0-2 kepada Vietnam sebelum ini.

"Kami perlu meneruskan falsafah itu dan percaya kepada kebolehan sendiri.

"Saya tahu Myanmar akan turun dengan strategi tersendiri, namun kami sedia menangani corak serangan balas pantas yang dimiliki mereka," katanya.

Cheng Hoe akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya bagi meraih keputusan positif di laman sendiri.

Bagaimanapun, mereka tetap berdepan tugas mencabar dalam merealisasikan impian itu memandangkan lawan akan menampilkan barisan terkuat mereka.

Ia didedahkan sendiri pengendali dari Jerman itu dengan menyenaraikan lima pemain utama yang direhatkan ketika bertemu Vietnam, Selasa lalu.

"Ia perlawanan yang setara dan pasukan yang lebih baik akan meraih kemenangan.

"Kami tidak akan menggunakan pendekatan bertahan kerana ia tidak realistik.

"Kami perlu memburu kemenangan tanpa melihat kedudukan dalam kumpulan," kata Hey.