Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menuntut anak buahnya supaya mengekalkan momentum dan turun dengan kekuatan mental yang jitu bagi menafikan kehebatan Thailand dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, esok.

Kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan dalam aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

"Saya harap mental dan fizikal kami cukup kental untuk mengharungi aksi di Stadium Rajamangala dan sudah tentu kami perlu sentiasa peka dengan jentera serangan mereka.

"Andai kami fokus sepanjang 90 minit, kami mampu menghalang mereka daripada menyumbat gol," kata Cheng Hoe.

Jurulatih Thailand, Milovan Rajevac, memberi amaran bahawa pasukannya akan tampil berbeza dengan corak serangan agresif bakal dipertaruhkan.

Sementara itu, penyerang muda negara, Akhyar Rashid, sedia memenuhi tuntutan peminat untuk diturunkan dan membantu pasukannya mencapai kemenangan.

Akhyar sekadar memanaskan badan di bangku pemain simpanan dalam pertemuan pertama.

Mungkin ia sebahagian daripada percaturan taktikal Cheng Hoe, namun rata-rata penyokong bola sepak tanah air enggan kelincahan Akhyar sekali lagi dipersiakan.

Sebaliknya, mereka menagih kelibat Akhyar, sama ada dalam kesebelasan utama ataupun sebagai pemain gantian bagi melunaskan misi Harimau Malaya melangkah ke pentas final.

"Saya akan buat yang terbaik kalau diberi peluang.

"Saya akan buktikan kemampuan kepada jurulatih serta rakan-rakan selain sokongan mental dan fizikal," ujarnya.

Untuk rekod, Akhyar hanya sekali membarisi kesebelasan utama, iaitu ketika skuad negara tunduk 0-2 kepada Vietnam di Hanoi di peringkat kumpulan.

Penyerang berusia 19 tahun itu tampak berpeluang untuk menjadi pemain utama susulan kelibat Mohamadou Sumareh belum pasti dipertaruhkan gara-gara kecederaan hamstring.

"Thailand tidak memberikan tekanan 100 peratus kepada benteng Malaysia.

"Sebaliknya, mereka lebih gemar bertahan dan mengintai kesilapan Malaysia untuk melancarkan serangan balas," kata penyerang Kedah itu.