Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengakui barisan negara beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar ketika menewaskan Kemboja 1-0 dalam aksi sulung Piala AFF, malam tadi.

Aksi di Phnom Penh itu menyaksikan barisan negara lebih banyak menyerap asakan tuan rumah dalam babak pertama.

Hanya jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30 menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

Sehubungan itu, Cheng Hoe sedar pasukannya perlu menggandakan usaha sebelum berdepan Laos dalam aksi kedua Kumpulan A, Isnin ini.

"Kami agak kelam-kabut dalam tempoh 20 minit awal permainan.

"Kami nyaris dibolosi tetapi selepas memperoleh gol yang menaikkan keyakinan pemain, kami bermain baik dalam separuh masa kedua, cuma banyak peluang yang disia-siakan.

"Saya harap pemain dapat meningkatkan prestasi dalam perlawanan kedua nanti," kata Cheng Hoe.

Dalam masa sama, pengendali Kemboja, Felix Gonzalez Dalmas, berasa pasukannya sudah mengerah segala kudrat ketika berdepan Malaysia dan tiada rungutan dengan kelibat pemainnya.

Meskipun tewas, Dalmas berpuas hati dengan kesungguhan pasukannya memberi tentangan kepada Malaysia.

"Saya bangga dengan corak permainan biarpun keputusan tidak memihak kepada kami.

"Kami perlu menambah baik beberapa kepincangan, mujur kami masih mempunyai tiga perlawanan lagi.

"Saya tidak sabar-sabar untuk melihat kemampuan kami dalam baki tiga perlawanan lagi.

"Saya tidak mahu merungut mengenai pemain, mereka telah berhempas-pulas.

"Beberapa aspek perlu diperbaiki dan kami akan bersedia mengharungi aksi berikutnya," kata Dalmas.