Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, sedia melakukan perubahan khas dalam aspek bertahan bagi menangkis serangan Thailand yang dijangka menghadirkan kesukaran besar buat pasukan negara menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018, Sabtu ini.

Jumlah 15 gol dalam empat perlawanan peringkat kumpulan sudah cukup menceritakan betapa tajamnya barisan serangan Thailand dalam kempen kali ini.

Cheng Hoe tiada pilihan selain perlu memikirkan formula memperbaiki beberapa kelemahan kecil di bahagian pertahanan negara yang boleh dihidu, terutama ketika berdepan Myanmar dan Vietnam.

Buat masa ini, gandingan pertahanan tengah, Shahrul Saad dan Aidil Zafuan Abdul Radzak, masih menjadi antara yang terbaik, namun Cheng Hoe juga sedia melihat pilihan lain.

"Kami dapat lihat kombinasi di antara dua pemain Thailand, Andisak Kraison dan Sanrawat Dechmitr, memang cukup bahaya.

"Shahrul dan Aidil berganding buat pertama kali ketika permulaan kejohanan kerana sewaktu aksi persahabatan, saya tidak dapat menggandingkan mereka. Setakat ini, persefahaman mereka cukup baik dan diharapkan Sabtu nanti, Malaysia dapat menyekat serangan Thailand," katanya.

Cheng Hoe juga membayangkan gandingan pemain tengah, Syamer Kutty Abba dan Akram Mahinan, yang bertindak sebagai pelindung pertahanan tetap jadi pilihan utama.

Berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan ketika menentang Myanmar, beliau berharap kedua-dua pemain itu mampu konsisten dalam mengunci pergerakan barisan tengah lawan.

"Kedua-dua pemain ini dapat mengimbangi serangan dan pertahanan pasukan. Saya mahu mereka meneruskannya, begitu juga Kenny Pallraj yang tampil begitu baik sewaktu menentang Myanmar," tambahnya.