Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, tidak kecewa dengan kegagalan anak buahnya menghasilkan jaringan, sebaliknya berpuas hati dengan kemampuan mereka memastikan gawang tidak dibolosi dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 menentang Thailand yang berakhir 0-0 semalam.

Aksi menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu merupakan ujian paling getir buat skuad negara susulan lawan hadir selaku juara bertahan dan gah merekodkan 15 gol dalam saingan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, reputasi lawan tidak menggentarkan anak buah Cheng Hoe apabila lebih menguasai bola dan menghasilkan beberapa percubaan bahaya ke kubu pelawat dalam aksi sepenuh masa.

Walaupun gagal menembusi gawang skuad Gajah Perang itu, keupayaan benteng akhir negara memastikan gawang mereka tidak dibolosi tetap memadai buat Cheng Hoe.

"Memang saya gembira kami tidak dibolosi sebarang jaringan. Saya jangka apabila kami bertandang ke tempat lawan nanti, Thailand akan membariskan jentera serangan yang hampir sama dan kami akan terus fokus. Dalam masa sama, kami juga harus menyerang untuk mendapatkan keputusan positif," katanya.

Dalam perlawanan yang dibanjiri ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Thailand jelas lebih sibuk di kubu sendiri untuk mengekang asakan tuan rumah.

Namun, mereka tetap menghadirkan peluang untuk merobek gawang Malaysia, antaranya menerusi Nurul Sriyankem pada minit ke-23 dan Adisak Kraisorn (m-53) tetapi tetap gagal menemui penyudah tepat.

“Ia bukan seperti perancangan awal kami untuk bermain bertahan. Malaysia beraksi sangat baik serta agresif dan atmosfera stadium juga memberi kesan kepada persembahan kami,” ujar pengendali Thailand, Milovan Rajevac.