Menjelang pemilihan skuad akhir ke Piala AFF 2018, persaingan dijangka sengit untuk merebut posisi penyerang dengan setiap pemain hadir dengan reputasi tersendiri.

Daripada 26 pemain dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan, pengendalinya, Tan Cheng Hoe, mempunyai lima pilihan pemain di bahagian serangan.

Shahrel Fikri Md Fauzi yang berkelana di kelab Thailand, Nakhon Rachatsima, kembali dalam keadaan terbaik selepas tersisih kerana mengalami kecederaan ketika menentang Sri Lanka, 12 Oktober lalu.

Malaysia juga kembali diperkuatkan dengan kehadiran penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad serta idak dilupakan, kelibat penyerang senior, Zaquan Adha Abd Radzak.

"Semua pemain memberikan persaingan yang sihat.

"Kami memberikan komitmen yang penuh kepada jurulatih.

"Saya berasakan saya mempunyai kelebihan kerana saya beraksi di luar negara.

"Mungkin ia agak menyukarkan untuk jurulatih memilih yang terbaik antara kami," kata Shahrel.

Namun kelibat kuda tua, Norshahrul Idlan Talaha, menambah sengat di bahagian hadapan setelah dia tampil dengan aksi memukau di Stadium Hang Jebat, Melaka -- mencipta beberapa gerakan berbahaya di samping berpeluang menjaringkan gol biarpun kesudahannya Malaysia tewas 0-1 kepada Krygystan dalam perlawanan persahabatan 16 Oktober lalu.

Aksi menentang Maldives 3 November ini bakal menjadi medan terakhir untuk kesemua pemain memikat hati Cheng Hoe sebelum senarai muktamad 23 pemain yang akan ke Piala AFF 2018 diumumkan.

"Untuk perlawanan menetang Maldives nanti, saya akan memberikan lebih daripada 100 peratus untuk membantu pasukan.

"Saya harapkan semua pemain dapat membantu saya agar kami akan mendapatkan keputusan yang positif kali ini," kata Norshahrul.