Piala AFF: Benteng perlu ampuh di Bangkok -- Farizal

Oleh Penulis Jemputan 3 Disember 2018 920
 Piala AFF: Benteng perlu ampuh di Bangkok -- Farizal
Penjaga gol nombor satu negara, Farizal Marlias, yang tiba bersama skuad Harimau Malaya di Bangkok, Thailand, hari ini berikrar untuk menghapuskan badinya menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Rabu ini.

Farizal dua kali pernah dikecewakan oleh skuad Gajah Perang itu di pentas Piala AFF, iaitu ketika dia bersama skuad Datuk K. Rajagobal dalam edisi 2012 apabila tewas di peringkat separuh akhir dan ketika membarisi skuad Dollah Salleh dalam edisi 2014 dan tumpas dalam aksi final.

Tragedi itu masih berbekas di hati Farizal, jadi tidak hairanlah dia enggan episod sama berulang.

"Sudah pasti ia masih terasa. Bukan saya sahaja, malah rata-rata pemain tidak rela tewas.

"Kami ingin ke perlawanan akhir tahun ini," kata penjaga gol berusia 32 tahun ini sejurus tiba di hotel penginapan rasmi skuad negara di Bangkok.

Kelibat Farizal sudah pasti ditagih selepas cemerlang memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam dua perlawanan terakhir Harimau Malaya dalam kempen kali ini.

"Saya harus gagalkan jumlah bolos sekarang ini. 

"Saya harap kami tidak dibolosi dalam aksi di sini kerana sedar bukan mudah untuk bangkit.

"Kami harus berdisiplin," katanya. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen