Skuad Harimau Malaya perlu merencanakan strategi lebih ampuh di bahagian pertahanan dalam perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Vietnam apabila rombakan terpaksa dilakukan di posisi berkenaan bagi meraih bekalan selesa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Skuad negara terpaksa mempertaruhkan kombinasi berbeza di benteng pertahanan dalam pertemuan menentang Vietnam yang juga juara edisi 2008.

Ia gara-gara pemain tonggak, Aidil Zafuan Abdul Radzak, dilanda kecederaan paha dan Syahmi Safari pula digantung satu perlawanan kerana mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand di Bangkok, Rabu lalu.

Tempat Aidil bakal digalas Irfan Zakaria yang gagal menjelmakan aksi ampuh ketika bertemu Thailand, namun pertahanan negara, Shahrul Saad, tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap gandingan barunya itu.

"Saya tidak ada masalah untuk bergandingan dengan Irfan memandangkan kami pernah bersama sebelum ini.

"Saya berharap kami dapat melakukan yang terbaik di bahagian pertahanan.

"Sesiapa sahaja yang terpilih untuk beraksi perlu memberikan komitmen di atas padang," kata Shahrul.

"Saya akan memberikan yang terbaik dalam aksi final nanti memandangkan sudah lama bersedia untuk diturunkan.

"Saya akan belajar daripada kesilapan lalu untuk menjalankan tugas dengan baik," kata Irfan

Tugas mencabar menanti Amirul Azhan Aznan yang dilihat sebagai calon terbaik mengisi kekosongan yang ditinggalkan Syahmi selaku pertahanan kanan negara.

Dia bukan sahaja akan membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu, malah turut berdepan pemain lincah lawan, Nguyen Cong Phuong, dalam aksi itu nanti.

"Ia mungkin reseki saya untuk beraksi di peringkat final.

"Saya tidak pernah terfikir untuk memperoleh peluang itu memandangkan tidak pernah diturunkan sebelum ini.

"Saya akan mencuba menyerap segala tekanan yang diberikan dengan baik," katanya.