Tonggak pertahanan skuad negara, Shahrul Saad, mengakui barisan pertahanan perlu lebih tenang untuk membantu pasukan mencapai kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan A, Piala AFF apabila turun menentang Laos, malam ini.

Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Kemboja 1-0 di tempat lawan, minggu lalu.

Namun, persembahan mereka belum sempurna disebabkan faktor permukaan padang tiruan, sekali gus masih ada ruang untuk diperbaiki dalam mengekalkan momentum kemenangan.

Antaranya adalah aspek bertahan yang kelihatan goyah ketika mengekang asakan lawan.

"Masih ada ruang untuk kami perbaiki.

"Saya harap kami akan memperbaikinya dalam aksi bertemu Laos," katanya.

Shahrul sekali lagi akan menjadi pertaruhan pengendali negara, Tan Cheng Hoe, di bahagian pertahanan bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak, Syahmi Safari dan Syazwan Andik Mohd Ishak.

Ia kombinasi mantap yang mampu membantu skuad negara meraih kemenangan kedua berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya menjangkakan aksi sukar bertemu Laos kerana mereka tewas dalam perlawanan pertama dan mahu segera bangkit.

"Mereka kini dalam semangat tinggi untuk memburu kemenangan pertama, namun kami beraksi di laman sendiri dan tidak akan memberikan sebarang ruang buat mereka," katanya lagi.