Dua individu penting dalam skuad bola sepak kebangsaan, penolong jurulatih, S. Balachandran, dan ketua fisioterapi, S. Sivanasvaran, mengetepikan rasa sedih meninggalkan keluarga ketika sambutan Deepavali demi menggalas tugasan dalam Piala AFF bagi aksi pertama bertemu Kemboja, Khamis ini.

Meninggalkan keluarga ketika sambutan perayaan sudah menjadi lumrah dalam kalangan atlet dan barisan kejurulatihan negara.

Ia pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh kedua-dua individu penting dalam skuad kebangsaan itu.

Rasa sedih terpaksa ditolak ketepi memandangkan keutamaan Balachandran ketika ini adalah untuk membantu Harimau Malaya memburu kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

"Saya pernah melalui banyak keadaan seperti itu sebelum ini.

"Sebagai jurulatih, saya perlu lupakan semua itu demi memastikan kejayaan buat skuad negara," kata Balachandran.

Sementara itu, setelah berkhidmat dengan 12 jurulatih kebangsaan sejak 1997, Sivanasvaran telah terlepas empat perayaan Deepavali ekoran tuntutan kerja.

Dia mengakui berasa sedih tetapi tidak boleh mengikut emosi demi memastikan kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan.

"Saya akui memang sedih meninggalkan keluarga ketika ini.

"Namun, ini adalah tugas saya bersama negara," katanya.