Piala AFF: Aspek tumpuan jadi sasaran Cheng Hoe

Oleh Penulis Jemputan 4 November 2018 287
 Piala AFF: Aspek tumpuan jadi sasaran Cheng Hoe

Kemenangan 3-0 ke atas Maldives dalam perlawanan ujian terakhir malam tadi masih belum mampu menutup beberapa kelemahan dalam skuad Harimau Malaya, terutama aspek fokus dan ketenangan pemain di atas padang menjelang sepak mula Piala AFF, Sabtu depan. 

Tidak keterlaluan mengatakan sekiranya mereka bertemu kualiti lawan lebih baik, kemungkinan sukar buat pasukan negara meraih kemenangan.

Dibantu kelemahan barisan penyudah dan kecemerlangan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Tan Cheng Hoe boleh menarik nafas lega selepas tamat permainan.

Cuma persoalannya, adakah mutu disajikan seperti itu sudah cukup jika kejuaraan Piala AFF menjadi buruan?

"Ada tiga pemain yang membuat kemunculan sulung pada malam ini (tadi). 

"Sudah tentu kami ingin mencari kombinasi dan persefahaman terbaik dalam pasukan. 

"Saya harap sebaik kempen Piala AFF bermula, masalah ini sudah dapat diatasi dan kami perlu memberikan fokus yang tinggi dalam Piala AFF," kata ketua jurulatih skuad negara itu.

Jurulatih Maldives, Petar Segrt, merumuskan angka jaringan kekalahan itu terlalu besar untuk diterima pasukannya.

Selain tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan, Segrt menjelaskan faktor kekurangan persediaan membuatkan mereka gagal menyajikan aksi berkualiti.

"Inilah yang berlaku kepada pasukan yang terdiri daripada beberapa pemain semi-profesional, mereka tidak dapat berlatih sepenuh masa. 

"Begitupun, karakter anak buah saya amat menakjubkan.

"Mungkin setelah kami menjalani beberapa sesi latihan lagi, kami boleh mencipta kemenangan ke atas Malaysia di sini," ujar ketua jurulatih Maldives itu.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen