MALAYSIA 3 MYANMAR 0

Malaysia melupakan kekecewaan aksi sebelum ini untuk menewaskan Myanmar 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, sekali gus mengesahkan tempat dalam separuh akhir.

Setelah gagal mara ke separuh akhir dalam edisi 2016, hasrat Harimau Malaya untuk meneruskan kemaraan tampak dalam bahaya susulan kekalahan 0-2 di tangan Vietnam sebelum ini.

Namun, dua gol sumbangan Zaquan Adha Abdul Radzak dan satu daripada Norshahrul Idlan Talaha membolehkan juara 2010 itu terus menyalakan harapan untuk mengulangi sejarah lapan tahun lalu.

Malaysia melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika perlawanan berdepan Vietnam sebelum ini apabila menyenaraikan kapten, Zaquan, dan Safawi Rasid sambil memberikan Farizal Marlias penampilan pertama di gawang.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bermula garang apabila melakukan asakan bertali arus sejak wisel permulaan dibunyikan tetapi serangan balas Myanmar hampir mengejutkan 80,000 penonton di Bukit Jalil, mujur Shahrul Saad sempat menghalang percubaan Maung Maung Soe pada minit ke-15.

Malaysia hampir membuka tirai jaringan tujuh minit kemudian tetapi hantaran leret Safawi dari sebelah kiri gagal disempurnakan Zaquan.

Bagaimanapun, gol pembukaan yang ditunggu-tunggu muncul pada minit ke-28 apabila Norshahrul menyudahkan bola muntah hasil percubaan Mohamadou Sumareh yang terkena palang untuk meraih jaringan keempat peribadinya dalam kejohanan.

Ketangkasan Farizal menyelamatkan Malaysia terserlah apabila dia menggunakan kaki untuk menafikan percubaan jarak dekat penyerang Myanmar, Aung Thu, pada minit ke-42 dan situasi sebaliknya berlaku apabila Zaquan menjarakkan kedudukan buat Malaysia menerusi sepakan penalti, tiga minit kemudian.

Larian lincah Safawi di sebelah kanan akhirnya membuatkan Soe Moe Kyaw tiada pilihan selain menjatuhkannya di dalam kotak penalti dan bola sepakan Zaquan singgah ke tiang sebelum menewaskan penjaga gol pelawat, Kyaw Zin Htet, bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Memiliki kelebihan dua gol membuatkan anak buah Cheng Hoe memperlahankan rentak permainan tetapi kemasukan Shahrel Fikri Md Fauzi dan Akhyar Rashid jelas mengucar-kacirkan benteng pelawat dalam separuh masa kedua.

Asakan demi asakan akhirnya membuahkan hasil buat Malaysia ketika permainan berbaki tiga minit apabila Moe Kyaw gagal mengeluarkan bola lorongan Akhyar dengan kemas dan ia terkena badan Zaquan sebelum melambung melepasi jangkauan Zin Htet.

Kemenangan 3-0 membolehkan Malaysia mengatasi kekecewaan dua tahun lalu apabila terkandas di peringkat kumpulan dan kini menempah tiket separuh akhir untuk berdepan naib juara Kumpulan B, sama ada Thailand, Filipina atau Singapura.

Kredit foto: Facebook FAMalaysiaOfficial