Penyerang muda negara, Akhyar Rashid, sedia melaksanakan apa jua pendekatan taktikal pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, bagi memastikan keputusan positif dapat dicapai dalam perlawanan menentang Vietnam, malam esok.

Akhyar adalah antara senjata rahsia skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF kali ini selain Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri.

Bertindak sebagai pemain gantian, kemasukan Akhyar memberikan impak positif kepada jentera serangan skuad negara dalam aksi berdepan Laos di Bukit Jalil, Isnin lalu.

Pemain Kedah berusia 19 tahun itu dijangka akan sekali lagi diberikan peranan sama dalam ujian getir berdepan juara edisi 2008, Vietnam, di laman lawan.

"Segalanya terpulang kepada jurulatih.

"Setiap pemain pasti mengimpikan aksi dalam kesebelasan utama, namun saya tetap akan memberikan yang terbaik dalam apa jua peranan yang diberikan," katanya.

Akhyar, yang kini hangat dengan ura-ura perpindahan ke Johor Darul Ta'zim (JDT), tetap menyimpan hasrat untuk menjadi pemain utama skuad negara.

Begitupun, dia sedar tuntutan taktikal adalah perkara yang lebih penting dan perlu diutamakan dalam merealisasikan misi pasukan.

"Vietnam mampu bermain dengan pantas.

"Saya berharap kesemua pemain dapat memberikan komitmen penuh untuk mendapatkan keputusan positif.

"Kami perlu memberikan sokongan daripada aspek mental dan fizikal buat satu sama lain," tambahnya.