Piala AFF: Aidil, Zaquan kembali bergandingan selepas 10 tahun 

Oleh Penulis Jemputan 6 November 2018 4249
Piala AFF: Aidil, Zaquan kembali bergandingan selepas 10 tahun 
Pasangan kembar bola sepak negara, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak, mahu memanfaatkan peluang beraksi bersama dengan membantu Harimau Malaya mencapai kejayaan dalam Kejohanan Piala AFF 2018.

Aidil dan Zaquan kembali beraksi bersama dalam skuad kebangsaan untuk tugasan dalam Piala AFF selepas kali terakhir melakukannya pada 2008.

Tampil selaku pemain muda untuk skuad bimbingan B. Sathianathan ketika itu, Malaysia gagal menyerlah apabila terkandas seawal peringkat kumpulan. 

Lantaran itu, mereka yang berpeluang bergandingan semula mengharapkan kejayaan manis mampu dicipta untuk penampilan bersama dalam edisi kali ini.

"Secara peribadi, kempen Piala AFF kali ini agak berbeza kerana saya dan Aidil akan bersama-sama dalam senarai pasukan. 

"Selepas 10 tahun, kami diberi peluang dan rezeki lagi untuk beraksi bersama. Saya berharap ia akan membawa hasil untuk pasukan kebangsaan," kata Zaquan. 

Pertahanan negara, Aidil, turut menaruh harapan agar gandingan mereka akan melonjakkan peluang negara dalam kempen dwi-tahunan itu, khususnya dalam aksi pembuka tirai menentang Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini. 

"Sebelum ini, banyak rintangan untuk kami bergandingan ekoran faktor kecederaan. Mungkin dalam Piala AFF 2018 ini kami dapat membantu pasukan menerusi pengalaman yang ada," katanya. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen