"Seumur hidup, arwah tidak pernah lihat kami beraksi bersama di pentas tertinggi." Itu luahan pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, yang bertekad menghadiahkan Kejohanan Piala AFF kepada arwah bapanya yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu sambil Zaquan Adha mahu menghadiahkan kejuaraan kepada ibunya yang menjadi pemangkin semangat mereka ketika ini.

Selepas sekian lama terpisah dan tidak mendapat peluang beraksi bersama, Piala AFF 2018 menyaksikan Aidil dan Zaquan kembali bergandingan.

Pasangan kembar itu menunjangi skuad negara sehingga mara ke pentas akhir untuk berpeluang menikmati kejayaan bersama buat kali pertama.

Ia sememangnya menjadi hasrat Aidil dan Zaquan, namun mereka lebih mengimpikan untuk menghadiahkan piala kejuaraan kepada insan teristimewa.

"Sedikit terasa pasal saya berhasrat menghadiahkan Piala AFF ini kepada arwah bapa kami.

"Ini kerana seumur hidupnya, bapa tidak pernah tengok kami bermain bersama-sama dalam Piala AFF atau pergi lebih jauh.

"Macam mana pun, kami mahu berikan aksi sehabis baik untuk dihadiahkan kepada arwah bapa kami," kata Aidil.

Menurut Zaquan pula: "Selama ini dalam Piala AFF, saya dan abang tidak mempunyai rezeki bersama-sama.

"Kalau diberikan rezeki, saya mahu menghadiahkan kejayaan Piala AFF ini kepada emak saya.

"Hanya doa emak yang membuatkan kami terus mahu ke hadapan."