Tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, mahu barisan pemain negara memanfaatkan segala kelebihan yang ada, termasuk keputusan seri membabitkan Myanmar dan Vietnam yang tampak memberikan petanda positif kepada Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF musim ini.

Pemain-pemain negara menanti penuh debar keputusan perlawanan Myanmar menentang Vietnam di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi.

Jika Myanmar menang, peluang skuad negara untuk ke layak ke separuh akhir tipis kerana perlu mencatat kemenangan besar bertemu pasukan itu dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium |Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Mujur ia tidak berlaku apabila Myanmar dan Vietnam sekadar terikat tanpa jaringan dan skuad negara hanya memerlukan kemenangan tipis dalam perlawanan seterusnya.

"Ia keputusan yang membuka peluang buat skuad negara.

"Kami pasti akan memburu kemenangan Sabtu ini," katanya.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah memandangkan lawan itu juga pernah menewaskan skuad negara 1-0 dalam edisi 2016.

Perkara itu tidak dinafikan Aidil yang menjangkakan barisan pertahanan negara akan sekali lagi berdepan ujian getir dengan asakan daripada lawan tersebut.

"Mereka dibarisi ramai pemain muda yang rajin.

"Kami perlu memberikan perhatian dalam menangani situasi itu," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, percaya skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mampu mengalahkan Myanmar untuk layak ke separuh akhir.

"Hampir 35,000 tiket telah terjual hari ini.

"Itu menunjukkan sokongan padu bakal diberikan rakyat Malaysia dalam perlawanan menentang Myanmar nanti.

"Saya tidak mahu skuad kebangsaan menghampakan mereka dan saya yakin Malaysia mampu menewaskan Myanmar," katanya.