"Kami masih bernafsu untuk ke pusingan kedua," kata ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan, dalam menjelaskan betapa pasukannya masih mampu mara ke pusingan kedua Piala AFC andai prestasi cemerlang membenam Ceres-Negros 3-0, semalam, mampu dikekalkan dalam dua perlawanan terakhir.

"Keyakinan pemain-pemain semakin meningkat dan saya juga mempunyai keyakinan bahawa mereka mampu layak ke pusingan kedua.

"Saya boleh lihat, mereka kini menikmati permainan mereka dan begitu ingin layak ke pusingan kedua, begitu juga saya.

"Hubungan kami berjalan dengan baik sekali.

"Kami tidak sabar untuk menghadapi baki dua perlawanan lagi untuk layak ke pusingan kedua," katanya.

Kata-kata Sathianathan itu jelas memperlihatkan keyakinan bahawa kempen Felda United dalam saingan Piala AFC pada musim ini tidak akan berakhir awal.

Ia bersandarkan kepada kecemerlangan Felda United apabila mempamerkan penguasaan penuh dalam kejayaan membenam wakil dari Filipina itu.

Kemenangan selesa itu melonjakkan The Fighters di tempat kedua Kumpulan C dengan hanya tiga mata di belakang pendahulu, Hanoi FC.

Selepas ini, Felda dijadual bertemu Tampines Rovers di Stadium Shah Shah Alam pada 19 April ini, sebelum melengkapkan aksi terakhir di Vietnam bertemu Hanoi, 3 Mei nanti.