FELDA UNITED 1 TAMPINES ROVERS 3

Impian Felda United untuk meraih kemenangan dalam penampilan pertama aksi Piala AFC di Stadium Tun Razak, Jengka berkubur selepas tewas 1-3 kepada kelab dari Singapura, Tampines Rovers.


Turun tanpa pemain berpengalaman, Shukor Adan serta Syahid Zaidon dalam kesebelasan bukanlah kebimbangan utama pengendali skuad The Fighters, B. Sathianathan.

Tetapi beliau lebih merasai kegusaran prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Super walaupun kali ini beraksi di stadium keramat mereka di Jengka.

Norsharul Idlan Talaha dan Lucas Cano mengetuai jentera serangan Felda manakala Zah Rahan Krangar dan Wan Zack Haikal diberikan tugas untuk beraksi di bahagian tengah.

Tampines Rovers terlebih dahulu menemui peluang untuk menyumbat gol pertama menerusi Ivan Zoni pada minit ke-29 selepas menyempurnakan hantaran Yasir Hanapi.

Norsharul berjaya menyamakan kedudukan enam minit selepas bersambung babak kedua perlawanan.

Harapan untuk menyaksikan kebangkitan Felda mencari kemenangan terkubur apabila Tampines Rovers kembali di hadapan pada minit ke-68 hasil jaringan gol pemain gentian, Khairul Amri sebelum mengganda jaringan empat minit kemudian.

Felda kini menduduki tangga tercorot Kumpulan G selepas dengan lima mata selepas lima perlawanan.

Mereka akan bertemu T&T Ha Noi pada aksi terakhir peringkat kumpulan.