Piala AFC: Penarikan diri Pahang jejaskan Malaysia

Oleh Penulis Jemputan 3 Disember 2017 113
Piala AFC: Penarikan diri Pahang jejaskan Malaysia
Keengganan Pahang mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala AFC 2018 mampu menjejaskan peluang pasukan dari Malaysia terus beraksi bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tahun 2020.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, kehadiran Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja dalam pentas AFC selaku wakil tunggal Malaysia akan menjejaskan ranking kelab dari negara.

Kesan buruknya mungkin dilihat pada tempoh empat tahun akan datang bagi perkiraan slot 2021 dan 2022 memandangkan 90 peratus perkiraan ranking diambil berdasarkan prestasi kelab Malaysia.

Buat masa ini, Malaysia sudah ada satu slot bagi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019 dan 2020 selepas mengatasi Hong Kong untuk menduduki tangga ke-13.

“Dalam tempoh empat tahun, kelab-kelab yang beraksi dalam saingan ACL dan Piala AFC akan mengumpul mata dan penarikan diri Pahang akan menjejaskan Malaysia,” kata Windsor.

Selain itu, Windsor turut menjelaskan AFC akan terus memberi dua slot pada 2019 iaitu satu dalam saingan ACL dan satu untuk Piala AFC walaupun penarikan diri Pahang musim ini.

Baginya, tiada istilah hukuman kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana itu merupakan hak setiap pasukan mengambil bahagian atau sebaliknya.

“FAM yang menghantar satu nama sahaja. Bukan AFC tidak menerima Pahang, FAM yang menghantar satu wakil. AFC tidak bersalah dalam hal ini kerana yang FAM yang bertanggungjawab di atas pasukan yang bersaing dalam Liga M.”

"Ini adalah satu cabaran buat FAM, mereka perlu mengkaji semula hal ini bagi menyelesaikan perkara-perkara ini," jelas pemerhati sukan negara, Rizal Hashim. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen