Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum memikirkan sama ada hukuman bakal dikenakan ke atas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) selepas keengganan mereka mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala AFC 2018.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan badan induk itu mungkin membincangkan nasib skuad Tok Gajah dalam mesyuarat kongres akan datang pada 9 Disember depan.

Hamidin enggan mengulas sama ada tindakan tatatertib akan diambil ke atas Pahang, namun semuanya berkemungkinan.

"(Hukuman atau tidak) belum (diputuskan) lagi. Kami sedang sibuk menguruskan pendaftaran Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia," ujarnya.

Pahang yang merupakan naib juara Liga Super 2017 masih membisu apabila FAM belum menerima surat balasan biarpun telah diberi tempoh sehingga Khamis lalu untuk memberi jawapan terhadap slot Piala AFC.

JDT akan beraksi sebagai wakil tunggal negara dalam saingan Piala AFC andai gagal melepasi pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia. Namun, sekiranya layak, Selangor yang berada di dalam senarai menunggu akan beraksi dalam Piala AFC.

Hamidin tidak menafikan ranking negara dalam pertandingan itu mungkin terjejas biarpun satu slot peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019 sudah menjadi milik Malaysia.

"Kami perlu memaksimumkan penyertaan pasukan. Bagaimanapun, pada masa depan, kami akan melihat proses yang lebih efektif agar perkara ini tidak berulang," tambahnya.