Walaupun Kedah disahkan tidak beraksi dalam saingan Piala AFC, tiada kepastian Pahang akan beraksi dalam kejohanan itu kerana difahamkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) belum lagi memberi sebarang pengesahan terhadap penyertaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramaligam, enggan mengulas panjang mengenai penyertaan Pahang, sebaliknya menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan penyertaan skuad Tok Gajah dalam Piala AFC.

Kevin mengakui FMLLP dan FAM tetap mahu memilih pasukan terbaik untuk beraksi dalam saingan peringkat Asia itu.

Jika mengikut kedudukan dalam saingan liga musim 2017, Pahang merupakan pasukan kedua terbaik Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan dan perlu menunggu keputusan FAM. Pahang adalah pasukan kedua terbaik selepas JDT untuk beraksi dalam saingan Piala AFC," katanya.

Sementara itu, Kevin mengesahkan FMLLP belum lagi mencapai kata putus mengenai kedudukan Felda United dalam saingan Liga Super musim depan.

Felda sebelum ini turut gagal lulus syarat pelesenan kelab kerana gagal mengemukakan penyata kewangan yang lengkap.

Pihak pengurusan The Fighters sudah pun mengemukakan rayuan serta penyata kewangan mereka dan FMLLP akan memperhalusi segala faktor sebelum menentukan kedudukan Felda.