JOHOR DARUL TA'ZIM 3 SONG LAM NGHE AN 2

Hasrat juara edisi 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT), untuk melepasi peringkat kumpulan Piala AFC 2018 lebur apabila sekadar mencatat kemenangan 3-2 ke atas wakil Vietnam, Song Lam Nghe An, dalam perlawanan Kumpulan H di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.


Skuad kendalian Raul Longhi itu melayan kunjungan lawan dengan misi mencatat kemenangan besar selepas tunduk 4-0 di tangan pendahulu kumpulan, Persija Jakarta, dalam aksi di tempat lawan pada 10 April lalu.

Misi itu tampak bernyala apabila hantaran pendek S. Kunanlan disambut Natxo Insa, sebelum bekas pemain tengah Levante itu membuka ruang buat Safawi Rasid melepaskan rembatan padu kaki kiri menewaskan penjaga gol, Tran Van Tien, bagi meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-36.

Dua minit kemudian, giliran Syafiq Ahmad meletakkan JDT berada dalam kedudukan selesa apabila penyerang berusia 22 tahun itu melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kedua hasil hantaran lintang dari sebelah kiri oleh pemain pertahanan, Corbin Ong.

Bagaimanapun, kelebihan dua gol itu hanya bertahan selama dua minit apabila Nguyen Viet Nguyen memanfaatkan kesilapan Kunanlan yang gagal menanduk bola keluar dengan kemas dengan melepaskan sepakan kaki kanan tatkala Izham Tarmizi Roslan hanya terpaku melihat bola masuk ke gawangnya.

Ketika aksi bakal menuju rehat dengan kedudukan 2-1, pelawat membuatkan seluruh skuad JDT terpaku apabila sepakan sudut dari sebelah kiri disudahkan oleh penyerang skuad kebangsaan Vietnam, Ho Tuan Tai, menerusi tandukan deras untuk mengikat kedudukan 2-2.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tampak lebih menguasai perlawanan tetapi terpaksa menunggu sehingga minit ke-66 apabila kapten pasukan, Safiq Rahim, menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti.

Safiq hampir menambah jaringan pada minit ke-83 tetapi sepakan percumanya melewati palang gol sebelum tandukan dari jarak dekat oleh pemain tengah berusia 30 tahun itu dinafikan oleh Van Tien.

Kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan, namun skuad Harimau Selatan terpaksa berputih mata untuk mengiringi Persija ke pusingan seterusnya, apabila gagal mengatasi Song Lam menerusi perbezaan jaringan untuk berada di tangga kedua Kumpulan H.


Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers