Felda United berdepan cabaran tambahan dalam saingan Piala AFC musim depan apabila kemungkinan tidak dapat menggunakan Stadium Tun Razak, Jengka, sebagai gelanggang tempat sendiri.

Kata putus sama ada Stadium Tun Razak dapat digunakan atau tidak, akan ditentukan Jawatankuasa Pertandingan AFC dalam masa terdekat.

Namun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, membayangkan skuad The Fighters mungkin terpaksa memilih stadium lain sebagai gelanggang mereka dalam Piala AFC kerana gagal memenuhi sesetengah spesifikasi pertandingan AFC.

"Dalam kejohanan Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia, perlu adanya hotel dan lapangan terbang antarabangsa yang berdekatan" ujarnya.

Dalam pada itu, saingan Piala AFC musim 2017 akan menyaksikan perubahan format.

Setiap pasukan perlu bersaing di peringkat rantau masing-masing sebelum ke peringkat seterusnya dan jika mara, juara rantau Asia Barat menanti dalam final.

"Semua perlawanan Piala AFC akan diadakan terlebih dahulu di peringkat serantau bagi mengatasi masalah perjalanan dan logistik.

"Ini juga memberi peluang kepada AFC untuk mengangkat juara serantau."