PFAM perlu galak pemain dalam isu pemotongan gaji

Oleh Ammar Hakim 8 April 2020 12
PFAM perlu galak pemain dalam isu pemotongan gaji
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) nampaknya perlu akur untuk menggalakkan pemain melakukan perbincangan bagi pemotongan gaji.

Ini susulan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pula menggesa kelab dan pemain mencapai persetujuan bersama berhubung perkara berkenaan.   

Saranan FIFA itu jelas seiring dengan desakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini, agar pintu perbincangan isu pemotongan gaji dibuka oleh mana-mana pihak.

Ini kerana sebelum ini, PFAM yang mewakili pemain Liga M bertegas enggan melayan idea pemotongan terhadap ahli-ahlinya ketika kebanyakan persatuan dan kelab mula berdepan masalah kewangan kerana pandemik covid-19.

Dalam satu kenyataan, presiden FIFA, Gianni Infatino, berkata setiap masalah harus memberi kestabilan dan kejelasan kepada bola sepak untuk masa depan.

FIFA menerusi garis panduan baru rasmi yang diumumkan hari ini juga mencadangkan agar kontrak pemain dipanjangkan sehingga akhir musim yang terganggu ketika ini.

Ia juga membabitkan isu jendela perpindahan pemain di mana cadangan itu hadir selepas kebanyakan pasukan dari seluruh negara termasuk Malaysia buntu mencapai jalan penyelesaian berhubung semua perkara berkenaan.

"Saya berasakan ini adalah perkara yang diperlukan untuk semua pihak. Kami akan berbincang dengan barisan pemain dan jurulatih dan berharap semua pihak bersedia menghadapinya," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

"Kami menerima baik perkara ini. Ini adalah sesuatu yang bagus buat pemain dan melihat kematangan mereka. Ini bukanlah hanya sekadar mengenai gaji tetapi masalah dunia yang dihadapi semua," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen