Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berharap pemain tempatan mampu meraih layanan sama rata terhadap ketegasan yang dipamer dalam isu tunggakan gaji pemain import yang melibatkan pasukan Kelantan.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya, menyambut baik langkah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melarang Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengambil import baru pada musim depan.

Ia berikutan KAFA mempunyai tunggakan gaji RM500,000 melibatkan pemain import, Dramane Traore, dan bekas pengarah teknikal, Alfredo Gonzalez, yang sudah berlarutan lebih dua tahun.

Rezal berharap MFL mampu memikirkancara tersendiri dalam pendekatan terhadap pemain tempatan yang berdepan masalah sama.

"Kami mengharapkan ketegasan yang sama rata buat setiap pemain tempatan yang mengalami masalah tunggakan gaji bagi memastikan pasukan lebih bertanggungjawab," katanya.

Selain itu, Rezal juga masih ternanti-nanti apakah formula sesuai yang akan digunakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji melibatkan pasukan yang sudah tidak lagi beroperasi dalam Liga Malaysia.

"Kami telah mengeluarkan arahan kepada pasukan yang terlibat untuk menyelesaikan gaji pemain dalam tempoh 60 hari sebelum memaklumkan kepada FAM jika ia tidak dilunaskan," tambahnya.

Mengenai Perlis, Rezal hairan dengan kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad, yang menjelaskan tiada rekod tunggakan gaji pada 2016 dan 2017.

Menurutnya, Amizal boleh merujuk kepada FAM yang mempunyai rekod aduan pemain-pemain yang berdepan masalah berkenaan.

Rezal dalam masa sama berharap PFA mampu menepati janji melangsaikan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan oleh MFL selepas mendapat peluang ke Liga Perdana atau geran tahunan bakal dipotong.

"PFAM tidak memiliki sebarang masalah dengan mana-mana pasukan, kami hanya menyuarakan hak pemain-pemain. Setiap peraturan yang ditetapkan oleh FAM, PFA wajib melunaskan sebarang tunggakan gaji," katanya lagi.