Pesta gol iringi kejayaan PSG

Oleh Penulis Jemputan 16 April 2018 2814
Pesta gol iringi kejayaan PSG
PARIS SAINT-GERMAIN 7 MONACO 1

Lapan gol tercipta di Parc Des Princes apabila Paris Saint-Germain (PSG) merampas semula kejuaraan Ligue 1 setelah membelasah skuad tangga kedua, Monaco, 7-1 pada awal pagi tadi.


Menentang Monaco yang merupakan juara bertahan, PSG melayan kunjungan skuad kendalian Leonardo Jardim itu dengan misi besar bagi mengesahkan status juara liga musim 2017/18.

Pesta gol di depan penyokong sendiri bermula pada minit ke-15 selepas Giovani Lo Celso menyempurnakan hantaran leret Dani Alves sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-17 dan 19 menerusi tandukan Edinson Cavani dan lambungan Angel Di Maria.

Berada pada kedudukan selesa dalam 20 minit pertama jelas belum mampu membuatkan skuad kendalian Unai Emery itu berpuas hati apabila Lo Celso meraih gol peribadi kedua menerusi tandukan pada minit ke-27 selepas menerima hantaran Javier Pastore.

Rony Lopes cuba menghidupkan harapan untuk bangkit buat Monaco apabila menolak masuk bola hantaran Almamy Toure dari sebelah kanan pada minit ke-38 untuk menjadikan kedudukan 4-1 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Di Maria menambah derita anak buah Jardim pada minit ke-58 setelah tenang menyambut bola lorongan Pastore untuk menewaskan penjaga gol, Danijel Subasic.

Malang buat kapten pelawat, Radamel Falcao, apabila penyerang utama Monaco itu tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-76 untuk menambah aib pasukannya, sebelum Julian Draxler melengkapkan malam gemilang PSG dengan gol ketujuh 10 minit kemudian menerusi rembatan kaki kanan menewaskan Subasic, memberikan kemenangan bergaya 7-1 buat PSG, sekali gus mengesahkan kejuaraan Ligue 1 selepas terlepas kepada Monaco pada musim lalu.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen