Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengakui kemampuan anak buahnya menyerlahkan perwatakan sebenar menjadi azimat kepada kejayaan menundukkan Myanmar 3-0 semalam, sekali gus melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2018.

Skuad negara mengharungi tiga perlawanan terdahulu dengan aksi tidak menentu.

Berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kemboja dan menundukkan Laos 3-1 dalam dua perlawanan pertama, Malaysia tunduk 0-2 di tangan Vietnam dalam aksi ketiga.

Selain itu, beberapa tonggak utama seperti Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid gagal berada di tahap keupayaan sebenar dalam tiga perlawanan tersebut.

Namun, sebaliknya berlaku dalam pertemuan menentang Myanmar apabila barisan pemain negara cemerlang menggalas tugas masing-masing.

"Ya, seperti yang saya beritahu, saya lihat ada peningkatan dalam setiap perlawanan. Saya rasa aksi semalam dapat menampilkan perwatakan sebenar pemain Malaysia. Mereka pejuang sebenar," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, ketua jurulatih Myanmar, Antoine Hey, mengakui Malaysia sebagai lawan yang lebih kuat sambil mempertahankan percaturan taktikalnya dalam pertemuan itu.

Kekalahan tersebut menyaksikan Myanmar tersingkir daripada kejohanan, sekali gus gagal mengulangi pencapaian edisi 2016.

"Jelas sekali kami cuba menggunakan pendekatan berbeza di bahagian tengah dan selepas ketinggalan 0-1, kami cuba memperbaikinya," ujar Hey.