Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menggunakan sebahagian peruntukan RM45 juta untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) seperti diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2020 bagi memperbaiki fasiliti di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, menjelaskan pihaknya masih memberikan keutamaan untuk memperkasakan program NFDP yang telah melahirkan ramai pemain muda berkualiti sejak 2014.

"Fokus juga perlu diberikan kepada kebajikan jurulatih dan pemain AMD. Mereka adalah aset bola sepak negara, terutama pemain AMD yang tinggal jauh daripada keluarga," katanya selepas merasmikan Bengkel Serantau Program Bola Sepak Sekolah FIFA di Petaling Jaya, hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan memperuntukkan RM45 juta kepada NFDP berbanding RM15 juta tahun lalu.

Subahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP memaklumkan sebuah jawatankuasa pemandu akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi menentukan nilai pampasan yang perlu dibayar pasukan Liga Malaysia yang berminat mendapatkan pemain daripada AMD.

Dia menjelaskan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan turut dianggotai wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan sedang meneliti mekanisme terbaik dalam menentukan nilai pampasan yang sepatutnya diterima AMD.

NFDP ditubuhkan bertujuan melahirkan pemain bertaraf dunia dan kini mempunyai lebih 25,000 pelatih seawal usia 12 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara, termasuk lebih 200 pelatih elit berpangkalan di AMD di Gambang.

Sementara itu, Bengkel Serantau Program Bola Sepak Sekolah itu juga menyaksikan FIFA menerusi Pengurus Program Perkhidmatan Pembangunan, Philips Zimmermann, tampil menjelaskan mengenai pengenalan aplikasi mudah alih dalam penyelarasan latihan.

Ia sejajar dengan usaha badan induk itu dalam usaha memastikan pembangunan bola sepak lebih pantas dan meluas kepada kesemua 112 ahli program berkenaan.

"Ya, antara perkara yang kami sediakan, bukan sahaja untuk FAM tetapi termasuk 112 ahli kami adalah aplikasi mudah alih yang mengandungi semua sesi bola sepak. Ia juga merangkumi segala jenis latihan dan modul yang mudah difahami," katanya.

-- BERNAMA