"Pemasaran bukan hanya diletakkan pada baju."

Itu mesej yang mahu disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj, kepada semua pasukan Liga Malaysia menjelang musim pelesenan kelab sepenuhnya tahun depan.

Peredaran zaman menuntut semua pasukan dan kelab lebih kreatif dalam menjana pendapatan masing-masing.

Sama ada secara langsung atau tidak, pasukan Liga Malaysia perlu menguasai platform baru kaedah pemasaran.

Pemasaran digital telah terbukti berkesan berdasarkan apa yang dilakukan pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) tatkala skuad Harimau Selatan itu kini sudah dikenali di serata dunia.

"Untuk melihat perubahan tradisi daripada media tradisional kepada era digital, impaknya memainkan peranan dalam proses penajaan bola sepak. Salah satu perkara yang ingin kami pastikan adalah kelab memahami betapa pentingnya perhubungan bola sepak, peminat serta pemegang taruh dalam negeri serta kelab," katanya.

Terdahulu, Christopher yang juga ahli jawatankuasa eksekutif FAM hadir merasmikan Bengkel Pemasaran Kelab FAM 2019 di Shah Alam, hari ini.

Diadakan selama dua hari, bengkel yang disertai 40 pasukan itu adalah usaha badan induk itu untuk menjadikan kelab bola sepak lebih mapan menerusi pelbagai topik perbincangan.