Pertahanan muda Lokomotiv maut ketika berlatih 

Oleh Shaiful Shamsudin 21 April 2020 773
Pertahanan muda Lokomotiv maut ketika berlatih 
Pertahanan Lokomotiv Moscow, Innokenty Samokhvalov, menemui ajal pada usia 22 tahun sejurus menjalani sesi latihan individu.

Kelab gergasi Russia itu mengesahkan berita tragis berkenaan semalam setelah Samokhvalov disyaki mengalami kegagalan jantung.

Samokhvalov -- yang pernah beraksi bersama pasukan simpanan, Lokomotiv Kazanka, dalam divisyen ketiga -- sedang berlatih berseorangan ketika dunia dilanda wabak novel koronavirus (Covid-19).

 
"Dukacita sekali kami mengumumkan kematian pertahanan Kazanka, Innokenty Samokhvalov," kata Lokomotiv dalam satu kenyataan.

"Dia jatuh sakit ketika menjalani sesi latihan individu. Perincian tragedi sedang disiasat.

"Samokhvalov berasal dari Lokomotiv. Kesha hadir ke akademi kami sejak gred ketiga lagi dengan memenangi kejohanan remaja Russia. Musim ini dia mewakili Kazanka. Samokhvalov meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki.

"Kesha merupakan seorang yang baik hati, suka menolong dan seorang rakan yang baik. Kami benar-benar terkejut dengan apa yang terjadi dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen