Jorge Sampaoli menyifatkan hubungan di antara Sergio Aguero dan Lionel Messi di atas padang merupakan kunci kejayaan Argentina meraih kemenangan 1-0 ke atas Russia.

Aguero membuat penampilan pertama bersama Argentina sejak Sampaoli mengambil alih tugas Edgardo Bauza dan mengambil kesempatan itu untuk menamatkan kemarau gol di pentas antarabangsa selepas kali terakhir meledak gol pada Jun 2016.

Messi, yang beraksi di belakang Aguero, melakukan hantaran kepada Cristian Pavon sebelum penyerang Boca Juniors itu berjaya menemui Aguero bagi meledak gol tunggal perlawanan."Ia merupakan apa yang kami cari sebelum ini," kata Sampaoli.

"Gerakan yang dilakukan oleh beberapa pemain, saya amat berpuas hati dengan Aguero dan Messi," katanya.

Aguero melintasi Hernan Crespo di tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak Argentina (35 gol) dan Sampaoli mengharapkan penyerang Manchester City itu dapat meneruskan momentumnya dalam perlawanan akan datang.

"Dia membaca perlawanan ini dengan baik. Dia berada pada tahap terbaik dan berjaya menjaringkan gol," katanya.