Penyerang Argentina, Sergio Aguero gembira kerana dapat mengtasi rekod jaringan Diego Maradona untuk Argentina dan menyifatkan prestasi pasukannya bertambah baik.

Aguero menjaringkan gol pada penghujung permainan untuk memberikan kemenangan 1-0 buat skuad kendalian Jorge Sampaoli ke atas Russia di Moscow, semalam.Jaringan tersebut memahat gol yang ke-35 buat bintang Manchester City itu, meletakkan dirinya melepasi Maradona (34) dan hanya ketinggalan kepada Lionel Messi (61) dan Gabriel Batistuta (54).

Aguero berpuas hati dengan persembahan pasukannya dan menggesa untuk terus meningkat menjelang Piala Dunia 2018.

"Saya sangat gembira dengan jaringan dan kemenangan ini. Kami bermain dengan baik," katanya.

"Terdapat ramai pemain baru dan sukar untuk mengenali masing-masing. Kami akan meneruskan momentum ini sehingga Piala Dunia 2018," ujarnya.

Argentina akan meneruskan aksi persahabatan berdepan Nigeria pada Rabu ini tetapi tanpa kelibat Messi dalam perlawanan tersebut.