Kedudukan di tempat teratas Premier League ternyata sengit, dengan LIMA pasukan dengan beza hanya satu mata di antara mereka semua. Pasukan-pasukan ini adalah:

1 Manchester City 20
2 Arsenal 20
3 Liverpool 20
4 Chelsea 19
5 Spurs 19

Mari kita tinjau status setiap pasukan di atas!

Manchester City, setelah bermula musim ini dengan cemerlang, kini melalui tempoh mencabar. Walaupun mereka masih di tangga teratas, namun mereka kini kehilangan setelah gagal memenangi perlawanan mereka buat tiga kali berturut-turut. Kemenangan mereka yang terakhir dalam semua pertandingan adalah pada 24 September menentang Swansea, satu bulan yang lalu.

Khabar angin terus terdengar berkenaan perhubungan yang semakin retak antara Sergio Aguero dan Pep Guardiola, dan kegagalan Aguero menjaringkan gol untuk perlawanan yang kelima berturut-turut dalam semua pertandingan pastinya tidak membantu. Kelechi Iheanacho pula sekali lagi menjaringkan gol setelah dimasukkan sebagai ganti, Iheanacho telah membuktikan yang beliau wajar diberikan lebih peluang untuk memulakan lebih banyak perlawanan untuk Manchester City. Dapatkah Guardiola mencari jawapan yang cepat untuk City menjumpai semula rentak kemenangan mereka sebelum ini?

Arsenal pula kurang bernasib baik apabila hanya mampu seri berdepan Middlesbrough, tetapi mujur kekal di tangga ke dua. Ramai yang berpendapat yang ketiadaan Santi Cazorla sedikit sebanyak membantut serangan mereka. Berkali-kali serangan mereka berjaya dipatahkan Middlesbrough.

Meskipun begitu, saya agak kagum bagaimana mereka telah berjaya setakat ini tanpa memerlukan striker traditional dalam pasukan utama mereka, dengan Alexis Sanchez memenuhi keperluan itu dengan cukup baik. Aaron Ramsey dan Olivier Giroud juga bakal kembali dari kecederaan, mereka cuma perlu mencari cara untuk menang tanpa Cazorla. Bolehkah Ramsey memenuhi keperluan itu?

Pasukan di tempat ketiga pula ialah Liverpool, dan, seperti yang diketahui ramai, Liverpool agak handal menyerang, tetapi pertahanannya belum lagi mantap. Dalam 9 perlawanan setakat ini, hanya satu perlawanan yang mereka tidak bolos gol (menentang Manchester United). Walaupun begitu, penggunaan James Milner di leftback ternyata memberikan sedikit stabiliti dan disiplin dalam pertahanan mereka. Penjaga gol baru mereka, Karius, belum lagi boleh dianggap sebagai kejayaan setakat ini.

Menyentuh semula bab serangan, Liverpool mempunyai banyak peluang yang mereka gagal menyempurnakan. Akibatnya, gol Gareth McAuley untuk West Brom dalam separuh masa kedua menyebabkan kegugupan biasa peminat Liverpool, dan mereka bernasib baik dapat bertahan sehingga ke akhir. Liverpool perlu lebih cekap untuk menyempurnakan peluang mereka agar dapat terus bersaing.

Chelsea, di tangga empat, ketika ini beraksi dengan penuh cemerlang. Setelah gagal memenangi sebarang perlawanan pada bulan September, yang diakhiri dengan dibuli oleh Arsenal 3-0, Oktober menyaksikan mereka bangkit kembali dan setakat ini mencatat tiga kemenangan berturut-turut, dan yang terbaru adalah dengan membelasah Manchester United. Antonio Conte telah menukar formasi mereka kepada 3-5-2, menyebabkan Branislav Ivanovic digugurkan dan ini telah membuahkan hasil.

Chelsea nampak agak kuat ketika ini (Hazard juga telah kembali cemerlang), tetapi mereka akan menghadapi jadual perlawanan yang agak mencabar. Empat daripada lima perlawanan seterusnya adalah menentang pasukan di tangga sepuluh teratas, dan saya berminat menyaksikan bagaimana pasukan-pasukan ini akan bersedia untuk menentang formasi baru Chelsea.

Spurs, yang bertanggungjawab memulakan kejatuhan Manchester City sejak 2 Oktober, melengkapkan perlumbaan 5 pasukan yang disebutkan. Seperti City, mereka juga tidak berjaya kebelakangan ini, setelah seri dua perlawanan mereka yang terakhir. Boleh dikatakan seri mereka lebih mengecewakan, kerana ia berdepan West Brom dan Bournemouth, yang berkedudukan lebih bawah (Perlawanan yang berakhir dengan seri untuk Manchester City pula adalah menentang Everton dan Southampton, yang lebih kuat).

Spurs juga terdesak untuk mendapatkan Harry Kane kembali kerana dalam Top 5 ketika ini, Spurs mempunyai jaringan gol yang paling teruk. Sebaliknya, mereka juga merupakan satu-satu pasukan dalam Premier League yang belum lagi tewas. Ini hasil dari barisan pertahanan mereka yang mantap. Penjaga gol mereka, Hugo Lloris juga cemerlang dan dia perlu terus cemerlang, kerana Spurs bakal berdepan dengan tiga kelab London pada bulan November, iaitu Arsenal, West Ham dan Chelsea.

Itu dia. Lima pasukan teratas, dengan perbezaan 4 mata dengan Everton di tempat ke enam? Pasukan mana yang bakal berada di atas menjelang Christmas? Pada pendapat saya, Chelsea mempunyai harapan yang cukup cerah, dengan Liverpool di tempat kedua.

Apa kata anda?