KELANTAN-MBC 3 PULAU PINANG 1

Kelantan-MBC mencipta kejutan menyingkirkan juara bertahan, Pulau Pinang, 3-1 dalam aksi suku akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-78 di Padang Penjara Kajang, Selangor, petang tadi.


Kejayaan itu menebus kembali kekalahan 2-1 kepada skuad Pulau Mutiara dalam aksi final di Stadium Sultan Muhammad IV, tahun lalu.

Dalam aksi babak pertama, sepakan percuma di luar petak penalti berjaya disudahkan pemain tengah Kelantan-MBC, Shamsul Kamal Mohammad, menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Muhammad Arif, pada minit ke-42.

Tersentak dengan jaringan itu, Pulau Pinang cuba mengasak mencari gol penyamaan, malangnya benteng pertahanan skuad Pantai Timur itu yang diketuai Muhammad Shahrul Nizam kental bertahan.

Jaringan pemain pertahanan, Muhammad Shahrul Nizam, dua minit babak kedua bersambung, juga melalui sepakan percuma cantik, terus memberi tekanan kepada Pulau Pinang sambil ketua pasukan, Famirul Asyraf Sayuti, mengesahkan kemaraan skuad Kijang ke separuh akhir melalui jaringan pada minit ke-48.

Skuad Pulau Mutiara kendalian Abdul Rahim Hassan mendapat jaringan sagu hati pada minit ke-80.

Kapten Kelantan-MBC, Famirul Asyraf, bersyukur dengan kemenangan ini dan menghadiahkan kejayaan mara ke separuh akhir kepada seluruh penyokong Kelantan.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukan yang beraksi dengan penuh semangat juang tinggi.

"Kejayaan mara ke separuh akhir dan jaringan ketiga Kelantan saya hadiahkan kepada seluruh penyokong setia skuad ini.

"Perjuangan tetap diteruskan dan kami akan bersedia untuk bertemu dengan Pahang dalam separuh akhir, Isnin ini," katanya.

Keputusan lain:

MELAKA 0 PERAK 0
(Melaka menang penentuan sepakan penalti 4-2)

TERENGGANU 2 SINGAPURA 1

PAHANG 1 ATM 0