Semangat berpasukan menjadi taruhan utama skuad Kelantan-MBC untuk mengejutkan juara bertahan, Pulau Pinang, dalam aksi suku akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-78 di Padang Penjara Kajang, Selangor, petang ini.

Tambahan pula, skuad Pantai Timur itu berpeluang menebus kembali kekalahan 1-2 kepada skuad Pulau Mutiara berkenaan dalam aksi final di Stadium Sultan Muhammad IV, tahun lalu.

Kapten Kelantan, Famirul Asyraf Sayuti, mengakui ia satu tugas berat untuk menjinakkan Pulau Pinang tetapi berkat kesungguhan semua rakan sepasukan, misi itu mampu dilaksanakan.

"Kami akan turun sebagai underdog dan bersedia untuk memberikan segala yang termampu untuk mengejutkan pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Pulau Pinang.

"Mereka (Pulau Pinang) sebuah pasukan yang memiliki ramai pemain yang baik dan sudah pasti mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

"Kami sudah bersedia dengan segala arahan taktikal ketua jurulatih dan mahu mencipta kejutan petang ini," katanya.

Ditanya mengenai masalah kewangan yang membelenggu skuad Merah Putih, Famirul yang juga bekas pemain Liga Super Kelantan enggan mengulas, sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan menyelesaikannya.

"Isu itu (kewangan) biarlah pihak pengurusan selesaikan, sebaliknya kami sebagai pemain sentiasa fokus dan turun dengan semangat yang tinggi demi maruah bola sepak Kelantan," katanya.

Untuk rekod, Kelantan-MBC layak ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B di belakang Melaka manakala juara bertahan, Pulau Pinang, mengungguli Kumpulan A dengan empat kemenangan berturut-turut.