Pertengahan bulan lepas kecoh seketika khabar angin mengenai perpindahan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazrin Nawi, yang dikhabarkan menerima tawaran RM80,000 oleh pendatang baru Liga Super, Melaka United.

Pada mulanya, ia cuma khabar angin yang dihebohkan oleh sesetengah pihak. Namun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menguatkan lagi kebenaran perpindahan pemain tersebut.

"Pemain pertama yang hendak berhijrah adalah Nazrin Nawi. Melaka United menawarkan sehingga RM80,000," kata TMJ semasa sesi dialog, 16 November lalu.

Sementara itu, pihak pengurusan Melaka United Football Club (MUFC) masih berdiam diri dan tidak mengeluarkan atau membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Ismail.

Jika benar Nazrin Nawi berpindah ke Melaka United, pasti pihak MUFC telah mengumumkannya di laman rasmi Facebook mereka dengan: "Selamat datang Nazrin Nawi ke Melaka United", seperti yang dilakukan kepada setiap pemain yang telah sah berkhidmat buat skuad Hang Tuah itu pada musim 2017.

Tertarik dengan satu status di laman Facebook, 'orang kuat' pihak pengurusan MUFC menyatakan perpindahan Nazrin hanyalah satu khabar angin yang tidak berasas.

"Nazrin Nawi. Celah mana tah datang Nazrin Nawi. Haish. Dengau ler khabau angin tu."

Jika benar perpindahan pemain sayap JDT itu satu khabar angin yang tidak berasas, bagaimana, Tunku Ismail begitu yakin mengeluarkan kenyataan jika tiada penawaran daripada pihak Melaka United.

Benar atau tidak khabar angin berkenaan, Nazrin kini dikatakan telah sah mengikat kontrak bersama Perak FA manakala Melaka United sedang gigih membuat persiapan untuk menghadapi saingan Liga Super 2017 tanpa kelibatnya.

Laman Facebook: JOHOR Southern Tigers