Perpindahan Olmo ke Leipzig pilihan tepat -- Bjelica

Oleh Staff Writer 24 Januari 2020 293
Perpindahan Olmo ke Leipzig pilihan tepat -- Bjelica
Dani Olmo memilih untuk menyertai pendahulu Bundesliga, RB Leipzig, di sebalik minat daripada Barcelona, Milan dan Chelsea, demikian disahkan oleh pengendali Dinamo Zagreb, Nenad Bjelica.

Olmo, yang menyerlah dalam Kejohanan Eropah B-21 untuk Sepanyol, menjaringkan lapan gol dalam semua kejohanan musim ini, termasuk lima dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Prestasi perancang itu telah dikaitkan bakal kembali ke Barca, yang ditinggalkannya untuk menyertai Dinamo pada 2014, manakala kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dan kelab Serie A, Milan, turut dilaporkan berminat.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu memilih berhijrah ke Jerman, dengan Leipzig menjadi destinasinya, menurut Bjelica, yang percaya ia adalah keputusan tepat buat dirinya.

"Dia menerima tawaran yang menarik tetapi memilih menyertai Leipzig," kata Bjelica. "Kami percaya dia akan menampilkan aksi yang terbaik seperti bersama Dinamo.

"Daripada banyak tawaran yang diterima, dia memilih Leipzig. Pada pendapat saya, ia adalah kelab terbaik untuk dirinya memperkembangkan kemampuannya.

"Leipzig adalah kelab di puncak Bundesliga, mereka semakin berkembang tahun demi tahun dan bermain dalam UCL."

Bjelica turut mendedahkan Olmo telah mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Dinamo sebelum melengkapkan penghijrahannya ke Leipzig.




Editor: Ammar Hakim
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen