Perpindahan Matthijs De Ligt ke Juventus semakin hampir untuk diselesaikan, kata Pengarah Bolasepak Ajax, Marc Overmars.

Perpindahan keluar De Ligt daripada Ajax bakal menjadi salah satu perjanjian terbesar dalam sejarah tatkala pemain berusia 19 tahun itu dikaitkan dengan beberapa kelab besar Eropah.

Juara Serie A, Juventus, merupakan pasukan yang paling hampir untuk mengesahkan pemain berusia 19 tahun itu menerusi perpindahan bernilai EUR66 juta (RM304 juta).

Kelmarin, Ajax mengesahkan De Ligt diketepikan daripada skuad yang berkunjung ke Austria untuk kempen pra-musim dan Overmars percaya perpindahan itu telah selesai dan pertahanan itu dijangka berada di Turin untuk menjalani ujian perubatan hari ini.

"Perpindahan De Ligt semakin menuju penamat," katanya.

"Kami menunggu jaminan bank kerana kami sangat tegas dengannya di Ajax. Diharapkan segalanya berjalan dengan baik tetapi saya fikir tiada sebarang halangan. Mereka datang dari Itali."

De Ligt akan meninggalkan kekosongan di benteng Ajax selepas bintang muda itu mengemudi skuad kendalian Erik Ten Hag itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Bintang Mexico, Edson Alvarez, dijangka menggantikan tempatnya dan Overmars menegaskan bek tengah Club America itu menjadi sasaran.

"Perpindahan itu tidak bergantung kepada situasi De Ligt," tambahnya.

"Alvarez adalah pemain yang kami fikir bagus, jadi dia boleh datang sertai kami. Dia bagus, berusia 21 tahun dan kerap beraksi bersama skuad kebangsaan Mexico. Kami sangat mengenalinya kerana sudah memerhatikannya dalam tempoh yang lama.

"Dia berkembang dengan baik dan boleh beraksi di banyak posisi."