Bintang Belgium, Kevin De Bruyne, menyelar permukaan padang di Sarajevo selepas pasukannya bergelut untuk melakar kemenangan ke atas Bosnia-Herzegovina dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

Jaringan di penghujung permainan oleh Yannick Carrasco menyaksikan Belgium meraih kemenangan 4-3 di Stadion Grbavica, awal pagi tadi.

De Bruyne yang beraksi selama 90 minit menyifatkan permukaan padang yang tidak rata memberikan kesukaran buat kedua-dua pasukan.

"Saya sangat bimbang jika mengalami kecederaan," katanya.

"Ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Saya tidak memahami bagaimana mereka dapat beraksi di atas padang ini.

"Kali terakhir saya beraksi di atas permukaan sebegini adalah ketika berusia tujuh tahun," sindirnya.

Belgium telah layak ke Russia 2018 dan kini mengungguli Kumpulan H dengan kelebihan sembilan mata.