Permainan Rodrygo seronok disaksikan -- Zidane lahir rasa tidak terkejut

Oleh Staff Writer 7 November 2019 461
Permainan Rodrygo seronok disaksikan -- Zidane lahir rasa tidak terkejut
Zinedine Zidane menegaskan dia tidak terkejut dengan permulaan hebat Rodrygo Goes di Real Madrid selepas pemain remaja itu mencipta hatrik menentang Galatasaray, awal pagi tadi.

Rodrygo, 18, menyumbat tiga gol dan membantu satu jaringan dalam kemenangan 6-0 Los Blancos di Santiago Bernabeu dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah itu.

Pemain Brazil itu menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan buat kelab itu sejak hadir daripada Santos, sekali gus membolehkannya meraih banyak pujian.

Zidane gembira dengan Rodrygo dan ketika dia cuba untuk tidak memberi tekanan kepada penggempur tersebut, pengendali Real itu tidak terkejut dengan persembahannya.

"Dia baru berusia 18 tahun. Kami sangat teruja dengannya," katanya.

"Apabila dia meraih peluang untuk beraksi, dia melakukannya dengan baik. Dia bekerja keras dan melakukan banyak perkara. Kami cuba untuk bersabar dan tidak memberi tekanan kepadanya.

"Saya tidak terkejut kerana dia memang berbakat. Mungkin kami terkejut dengan tiga gol. Dia gembira dan persembahannya seronok untuk ditonton."

Rodrygo menyumbat dua gol dalam tujuh minit pertama ketika berdepan Galatasaray sambil Karim Benzema menghasilkan dua jaringan dan Sergio Ramos menyempurnakan sepakan penalti.

Zidane memuji kerakusan Real dalam aksi itu selepas meraih kemenangan ketiga dalam empat perlawanan bagi semua kejohanan.

"Secara logik, kami boleh gembira dengan enam gol tetapi kami juga memastikan gawang tidak bolos, bertahan dan menghormati lawan sehingga penamat kerana kadangkala apabila anda mendahului empat gol sebelum rehat, anda akan bersantai tetapi kami tidak," tambahnya.

"Setiap kali terlepas bola, kami memberi tekanan dan ia membolehkan kami mengawal permainan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen