Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, menganggap perlawanan dengan Kepulauan Mariana Utara dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Stadium Olimpik Phnom Penh petang ini sebagai aksi pemanas badan terbaik sebelum berdepan ujian sebenar menentang Thailand, Ahad ini

Walaupun lawan itu tidak memiliki reputasi besar, Maloney enggan dibuai dengan kenyataan itu.

Baginya, sebarang kelemahan perlu diperkemaskan dalam aksi petang ini selain melunaskan hasrat untuk meraih satu lagi kemenangan besar selepas membelasah Brunei 11-0 kelmarin.

"Harap-harap kami dapat melakukannya sekali lagi ke atas Kepulauan Mariana Utara.

"Selepas itu, kami akan bersedia untuk menghadapi Thailand.

"Kami tahu mereka (Thailand) pasukan yang amat baik.

"Mereka mungkin pasukan pilihan untuk menjuarai kumpulan ini.

"Kami perlu berada di tahap terbaik untuk bersaing dengan mereka," katanya merujuk kepada Thailand yang terdahulu memperbudakkan Kepulauan Mariana Utara 21-0 kelmarin.

Dalam pada itu, pemain tengah, Alif Abdul Mutalib, berjanji untuk memastikan pasukannya meraih tiga mata dalam pertemuan petang ini.

Memegang watak penting untuk menjana serangan buat penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin, dia turut menyasarkan jaringan peribadi dalam pertemuan dengan Kepulauan Mariana Utara itu.

"Kami tidak boleh memandang rendah pihak lawan.

"Kami akan melakukan yang terbaik seperti yang dimahukan oleh jurulatih.

"Dia meminta kami untuk menjaringkan gol dengan banyak, jadi kami akan melakukan yang terbaik untuk mengatasi rekod jaringan Thailand," katanya.